Usaha Salahkan Najib Isu 1MDB Dibidas, Pandangan Menteri Kewangan Berat Sebelah


KUALA LUMPUR, 30 Mei – Bekas Pengarah Strategik Dan Komunikasi Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam membidas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang berusaha menyalahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan 1MDB.

Dalam hal ini, beliau merujuk kepada kenyataan akhbar Guan Eng bertarikh 27 Mei 2018 yang hanya menceritakan separuh dari apa yang telah berlaku berkaitannya.

“Terdapat lebih banyak lagi maklumat mengenai transaksi 1MDB-MOF, berbanding pandangan berat sebelah oleh Menteri Kewangan.

“Oleh itu, saya bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Najib semalam kerana sebaiknya siasatan ke atas 1MDB diteruskan mengikut proses yang sewajarnya, dan tidak tertakluk kepada perbicaraan melalui media ,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas beliau, pada Mac 2015, lebih kurang sebulan selepas beberapa dakwaan dibuat berkaitan dengan transaksi 1MDB yang lepas, Kabinet, di bawah pimpinan Datuk Seri Najib, meminta Jabatan Audit Negara untuk menjalankan audit khas ke atas 1MDB dan membentangkan hasil siasatan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Pada Julai 2015, PDRM menjalankan serbuan di pejabat 1MDB dan merampas sepenuhnya semua dokumen syarikat. Siasatan PDRM masih berterusan sehingga hari ini.

“Ketua Audit Negara menyenaraikan pelbagai isu mengenai 1MDB kepada PAC, contohnya, tadbir urus kurang memuaskan, penyimpanan rekod yang lemah, tiada pengesahan pelaburan dana dan lain-lain.”

Kemudiannya, jelas beliau pada bulan April 2016, PAC mengeluarkan laporan, antara lain, merangkumi penggunaan hutang yang berlebihan oleh 1MDB dan pelbagai salah-laku oleh pengurusan 1MDB terdahulu.

“PDRM telah diminta untuk menyiasat lanjut Datuk Shahrol Halmi dan pengurusan 1MDB terdahulu. Siasatan PDRM masih berterusan.

“Jelas sekali bahawa kerajaan terdahulu, di bawah Datuk Seri Najib, sudah pun memulakan siasatan terhadap 1MDB, yang masih berterusan sehingga hari ini.

“Pada masa yang sama, walaupun penyiasatan oleh PDRM berjalan, masih terdapat keperluan untuk membayar hutang dan membangunkan projek-projek utama seperti TRX dan penempatan semula Pengkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL) di Sungai Besi.”

Tegasnya, walaupun Menteri Kewangan menyenaraikan beberapa transaksi 1MDB-MOF dalam kenyataannya, beliau tidak menerangkan asas atau alasan di sebalik keputusan yang dibuat oleh MOF.

“Contohnya, Kementerian Kewangan tidak menjelaskan, dari perspektif perundangan dan perakaunan, mengapa 1MDB memindahkan aset hartanah utama kepada MOF pada harga nominal, sementara hutang tetap pada kunci kira-kira 1MDB?

“Satu-satunya jawapan logik, sudah tentu, adalah MOF telah bersetuju untuk mengambil alih liabiliti tersebut, yang memberikan kestabilan, dan memberikan Kepaa jaminan kepada 1MDB untuk membayar hutangnya,” katanya.

Jelas beliau, projek TRX telahpun dilaksanakan, dengan komitmen pelabur tempatan dan antarabangsa, pada masa ia dipindahkan ke MOF pada 31 Mac 2017.

“MOF memulakan pembayaran liabiliti 1MDB hanya pada April 2017, iaitu, selepas pemindahan aset berlaku.”

Katanya, sementara Projek Bandar Malaysia dipindahkan ke MOF pada 31 Mac 2017.

“Jumlah deposit sebanyak RM 720 juta yang dibayar oleh bekas rakan usahasama projek itu, secara keseluruhan, telah digunakan untuk membayar kos projek penempatan semula PUKL Sungai Besi, supaya mempercepatkan usaha mengosongkan tanah untuk pembangunan.”

Oleh itu katanya, apabila MOF, sebagai pemilik projek baru, membuat keputusan pada awal Mei 2017, untuk menamatkan perjanjian usahasama itu, mengambil tindakan tepat untuk membayar balik deposit itu, kerana ia mendapat manfaat daripada kerja yang dibayar oleh bekas rakan usahasama. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.