Rakyat Hampa Tidak Dapat Tol Percuma, Apakah Kerajaan PH Mampu Tunai Janji?


KUALA LUMPUR, 30 Mei – Harapan rakyat untuk menikmati janji Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi menghapuskan semua tol lebuh raya di Semenanjung tidak kesampaian apabila pengumuman yang dibuat hari ini hanya 50 peratus potongan kadar tol untuk tempoh dua hari sebelum Aidilfitri.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO menganggap tindakan ini ternyata bercanggah dengan manifesto PH yang berjanji untuk menghapuskan tol di seluruh negara demi meringankan beban rakyat.

“Kerajaan tidak wajar menggula-gulakan rakyat dengan janji penghapusan tol semata-mata untuk meraih undi kerana apa jua janji kepada rakyat, mestilah ditunaikan sebaik mungkin, tanpa alasan dan helah politik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bidasnya, susulan pengurangan hanya 50 peratus dan dua hari saja menjelang Aidilfitri, rakyat kini tertanya-tanya adakah Kerajaan PH mampu mengotakan janji manifesto PRU14.

“Jika Kerajaan PH sanggup menjadikan isu 1MDB sebagai agenda politik, maka rakyat pula sanggup menggunakan isu tol sebagai tuntutan janji manis mereka.

“Ini bukan salah rakyat. Carilah ubat kepada strategi ‘membuka pekung di dada ini’ kerana ia ternyata membuat pelabur luar berfikir banyak kali untuk menanam modal di negara yang pentadbirannya masih caca merba atau ‘failed state’ ini.”

Katanya, pastinya harapan berjuta-juta pengguna lebuh raya yang akan pulang ke kampung halaman untuk berhari raya bukan saja hampa kerana tidak dapat tol percuma, malah masih perlu keluar duit belanja untuk bayaran tol.

“Ia pasti membebankan mereka khususnya yang berpendapatan rendah dan menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jauh.

“Pengumuman hari ini menyerlahkan Kerajaan PH mungkin telah menyedari realiti bahawa penghapusan tol tidak realistik dan sukar dilaksanakan yang sekaligus menunjukkan janji manifesto itu hanya sebagai janji atau ‘gula-gula’ politik bagi meraih undi.”

Maklum Unit terbabit, menurut agensi penarafan RAM Ratings, penghapusan semua tol lebuh raya akan membabitkan bon dan sukuk berjumlah RM53 bilion. Ini bermakna ia adalah kerugian besar kepada pemegang konsesi dan kerajaan bagi tempoh yang singkat.

“Bagaimana kerajaan mampu menanggung perbelanjaan bagi melunaskan hutang dengan syarikat konsesi ini, yang ada antaranya baru memulakan kutipan bagi membiayai kos pembinaan lebuh raya mereka?

“Apakah masa depan pembinaan lebuh raya lain, misalnya Lebuh Raya bertingkat Ulu Klang-Sungai Besi (SUKE Highway) kendalian firma Prolintas mampu diteruskan tanpa kutipan tol?

“Projek berharga RM48 bilion itu memerlukan suntikan modal yang besar untuk pembinaannya maka apakah kerajaan sanggup menanggung kosnya, dan bagaimana?”

Tegasnya, sebenarnya rakyat sudah menerima cara sistem bertol ini sejak PLUS mengutipnya pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-4.

“Seperti di negara lain, sebahagian besar rakyat Malaysia memahami tujuan kutipan tol oleh syarikat konsesinya, biarpun jalan raya alternatif masih ada, mereka selesa menggunakan lebuh raya bertol untuk ke destinasi, serta faham ia dibina untuk kemudahan mereka.

“Mereka juga faham kos yang tinggi untuk membinanya di sesetengah tempat, masalah pengambilan alih tanah serta pampasan.”

Katanya lagi, mungkin PH kini tercari-cari jawapan sebenar dari segi implikasi kewangan kepada kerajaan dan pemegang konsensi tol sekiranya tol dihapuskan.

Tambahan pula, dalam keadaan pasaran saham yang merundum, penurunan berterusan ringgit dan penarikan keluar modal asing, pastinya merungsingkan kerajaan sekarang. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.