Buka Kemasukan Ke UiTM : PAUiTM Teguh Bantah Tuntutan HINDRAF


KUALA LUMPUR, 28 Mei – Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) yang mewakili 700,000 alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) di seluruh negara memandang serius tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF 2.0) hari ini yang antara lain mendesak supaya kemasukan ke universiti tersebut dibuka kepada semua kaum.

Presidennya, Datuk Mohd Zaini Hassan berkata PAUiTM dengan ini berdiri teguh dan secara sebulat suara membantah sebarang cubaan untuk membuka kemasukan ke UiTM kepada semua kaum.

Ini tegasnya berdasarkan premis bahawa kedudukan UiTM sebagai persada pendidikan peringkat tinggi untuk anak Melayu dan Bumiputera adalah sebahagian daripada komponen hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Maka berdasarkan hakikat ini, sebarang langkah untuk mencabar keistimewaan itu dilihat sebagai melanggar Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun PAUiTM sedar bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengambil maklum sebarang tuntutan yang mewakili pelbagai masyarakat di negara ini, namun perkara berkenaan perlu ditangani dengan tegas bersama kesemua komponen kerajaan Pakatan Harapan dalam konteks pemeliharaan hak keistimewaan orang Melayu”, katanya dalam satu kenyataan di sini.

PAUiTM jelas beliau bimbang kenyataan Hindraf seperti ‘menuang minyak ke api’ itu akan mencetuskan kemarahan umat Melayu Bumiputera di negara ini.

“Sehubungan itu kami mahu kenyataan berbau hasutan seperti itu dihentikan sama sekali oleh mana-mana pihak sekali pun.

“Sebaliknya PAUiTM mencadangkan pihak kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan terus mencari jalan bagi memperkasakan lagi institusi pendidikan ulung Bumiputera itu”, ujarnya.

Justeru bagi mempastikan UiTM tidak terus diganggu-gugat oleh mana-mana pihak lagi PAUiTM mencadangkan ia diletakkan di bawah satu inisiatif perlindungan Majlis Raja-Raja Melayu. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.