Bonus Aidilfitri Untuk Peneroka Felda Dan Penjawat Awam Harus Diteruskan – UMNO

KUALA LUMPUR, 29 Mei – UMNO memandang berat kenyataan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih belum mengesahkan akan membayar ataupun menyatakan jumlah bonus hari raya kepada penjawat awam selain bonus hari raya kepada semua isi rumah peneroka FELDA.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO berharap kerajaan PH tidak menggunakan ‘hutang negara’ yang diwar-warkan angkanya RM 1 trilion sebagai alasan untuk tidak membayar para peneroka FELDA dan mengkhianati kepercayaan sesetengah peneroka yang telah mengundi PH pada PRU14 yang lalu.

“Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini mengatakan bahawa ekonomi kita kukuh dan kuat tetapi pada hari berikutnya apabila ditanya mengenai pembayaran bonus hari raya untuk penjawat awam, beliau memberikan alasan bahawa ekonomi kita lemah dan akan mempertimbangkan pembayaran bonus hari raya hanya untuk penjawat awam yang bergaji rendah. Tetapi, itu pun masih belum disahkan lagi,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, di bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, setiap individu dalam sektor perkhidmatan awam akan dibayar bonus hari raya sebanyak RM500 setiap tahun sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan kerja keras mereka, begitu juga kepada semua isi rumah peneroka FELDA yang dibayar RM 500 pada tahun lepas.

“Tidak membayar bonus akan menjadi tamparan berganda kepada pekerja sektor perkhidmatan awam kerana kerajaan PH juga telah mengumumkan bahawa mereka akan mengkaji semula kenaikan gaji mereka yang dirancang untuk tahun ini, memandangkan ini adalah janji BN dan bukan janji PH.

“Sepanjang sembilan tahun lalu, kerajaan BN di bawah Datuk Seri Najib Razak telah memberi perhatian khusus untuk memperbetulkan kedudukan tangga gaji penjawat awam bergaji rendah, yang dianggap sebagai suatu ketidakadilan kepada mereka.

Sebagai contoh, jelasnya, gaji bulanan untuk pembantu pentadbiran adalah sebanyak RM 650 pada tahun 2007, dinaikkan secara berperingkat-peringkat kepada RM 1,400 menjelang tahun 2018.

“Pemberian ini akan memeriahkan Hari Raya Aidilfitri kepada berjuta-juta penerima, yang akan menyambutnya dalam dua minggu lagi.
Namun demikian, UMNO mengucapkan terima kasih kepada kerajaan PH atas janji pembayaran kedua BR1M yang sebelum ini memang telah dijadualkan untuk dibayar pada Jun 2018. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.