Alumni GPMS UiTM Buat Laporan Polis Terhadap Hindraf

SHAH ALAM, 29 Mei – Persatuan Alumni GPMS Universiti Teknologi Mara (UiTM)  hari ini membuat laporan polis bagi membantah tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang mahu kemasukan universiti itu dibuka kepada semua kaum.

Presiden persatuan itu Muhamad Akmal Mohd Dahalan berkata tuntutan Hindraf dilihat sebagai cubaan menghasut selain boleh mewujudkan ketegangan antara kaum di negara ini.

“Kami memandang serius tuntutan ini yang jelas bertentangan dengan artikel 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menjamin hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta menetapkan bahawa kemasukan UiTM adalah khusus untuk orang Melayu dan Bumiputera.

“Tuntutan ini menimbulkan rasa kurang senang kaum Melayu dan Bumiputera. Justeru itu, kami menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap kenyataan Hindraf itu yang mana dilihat boleh mewujudkan ketegangan kaum, sekali gus boleh menyebabkan perkara tidak diingini berlaku,” selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini, hari ini.

Selain itu, enam lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut hadir dan berhimpun secara aman di perkarangan IPD itu bagi menggesa pihak polis mengeluarkan arahan terhadap pihak berkenaan supaya tidak mengeluarkan lagi kenyataan berhubung isu tersebut.

Ia adalah Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Alumni GPMS, Engineering Society UiTM, Persatuan Alumni MPP UiTM (PIMPIN) dan Alumni UiTM Perlis.

“Kami juga menyeru kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana menteri Tun Mahathir Mohamad agar tidak meluluskan tuntutan Hindraf itu,” kata Muhamad Akmal.

Sementara itu,. Presiden GPMS Zamri Mohd Isa pula berkata kesemua wakil NGO itu bercadang  menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam waktu terdekat untuk memohon supaya UiTM diletakkan di bawah perlindungan Majlis Raja-raja Melayu.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi mempertahankan institusi pendidikan bumiputera itu daripada diganggu-gugat pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Dengan cara ini (meletakkan UiTM di bawah Majlis Raja-raja), kami berharap isu sebegini tidak berulang  sekali gus mengekalkan peranan dan fungsi UiTM,” katanya.

Semalam, Hindraf menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India termasuk pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.