Perbaikilah ‘Rumah’ Kita Untuk Kembali Kukuh – Mutalif

KUALA LUMPUR, 27 Mei – “Rumah kita sudah kena ribut taufan, jadi kita harus tengok yang mana boleh diguna pakai dan yang mana harus diperbaiki. Kita betulkan rumah kita… kukuhkan rumah kita, barulah kita akan kuat. Maka, saya yakin dan percaya UMNO akan kembali pulih untuk PRU-15 nanti,” ujar Naib Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim.

Justeru jelas beliau, untuk itu tiga perkara harus diberi perhatian utama iaitu taat setia kepada parti, muhasabah diri dan jangan sesekali berebut kuasa khususnya menjelang pemilihan parti.

“Semua ahli UMNO di 191 Bahagian harus muhasabah diri dan perlu sedar bahawa sekarang ini UMNO bergelar pembangkang dan semua pihak haruslah bekerja sebagai seorang pembangkang.

“Kita perlu berpijak di bumi nyata. Saya merayu kepada semua ahli untuk ambil iktibar ini (kekalahan BN dalam PRU-14) bagi kita sama-sama bina semula wasatiah dan seterusnya memperjuangkan roh perjuangan UMNO.

“Kesinambungan ini perlu diteruskan kalau tidak… parah,” ulas beliau.

Selain itu, Mutalif juga menyeru kepada pihak atasan parti agar mempermudahkan apa yang perlu dan memastikan yang UMNO itu sentiasa ‘walk the talk’.

“Kita tidak lagi boleh berfikiran rigid, kita kena berfikiran terbuka bagi memastikan golongan muda yang lari kembali kepada UMNO kerana mereka ini bukannya tidak suka kepada UMNO, jadi kita kena kaji semula.

“Sebenarnya UMNO masih menang berdasarkan kerusi yang kita peroleh. Ini juga menunjukkan roh perjuangan itu masih ada tetapi kita harus asah, barulah roh itu akan terserlah. Kita baiki kesilapan kerana kita ini manusia tidak boleh lari dari kesalahan.

“Kita harus pastikan tidak ada perpecahan di kalangan kita… mula dari akar umbi dan jangan sesekali bergaduh hanya kerana jawatan,” ujarnya lagi. – MediaUMNO