UMNO Dukacita Polis Rampas Dana Parti

KUALA LUMPUR, 24 Mei – UMNO menyatakan rasa kesal dan dukacita dengan rampasan wang dana politik parti itu oleh pihak polis baru-baru ini, di mana dana tersebut diperolehi melalui sumbangan untuk digunakan dalam kempen pilihanraya umum ke 14 dan bagi pengurusan parti.

Menurut Unit Komunikasi Strategi Ibu Pejabat UMNO, adalah sesuatu yang amat mendukacitakan apabila baki sumbangan dana kempen dan parti telah dirampas oleh pihak polis semasa ia dalam proses dipindahkan kepada kepimpinan baru UMNO, selepas peletakan jawatan Dato Sri’ Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan BN.

“Secara umumnya, Presiden UMNO bertanggungjawab untuk mendapatkan sumber dan menguruskan dana untuk UMNO termasuk dana bagi Pilihan Raya Umum. Hal ini termaktub di dalam Perlembagaan parti.

“Dana sumbangan kepada parti politik ini diterima oleh semua parti-parti politik d negara ini dan hal ini tidak ada bezanya dengan UMNO di mana mantan Presiden kita iaitu Dato’ Sri Najib Tun Razak telah mendapatkan sumbangan dana untuk kempen sebelum PRU ke-14 dan juga dana untuk menguruskan parti.

“Untuk makluman, semasa mantan Presiden Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Presiden kita, beliau juga telah menyerahkan RM 1.2 billion kepada parti dan 3 juta ahli,” demikian jelas Unit Komunikasi Strategi Ibu Pejabat UMNO dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Unit Komunikasi Strategi Ibu Pejabat UMNO , pembiayaan politik adalah satu perkara yang dibenarkan di bawah undang-undang negara.

“Oleh itu, UMNO berusaha untuk memulihkan dana ini dan memohon kepada pihak polis untuk melepaskan dana tersebut dan mengembalikannya kepada parti setelah selesai proses siasatan oleh pihak berkuasa yang terbabit.

“UMNO kini sedang dalam proses membina semula parti dan pulangan dana parti ini akan membantu parti untuk mengukuhkan proses pembinaan semula parti yang sedang dijalankan hari ini,” kata Unit Komunikasi Strategi Ibu Pejabat UMNO .-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.