Pemilihan UMNO Mampu Perbaiki Imej Parti, Tolak Budaya Negatif Melampau – Mustapa

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuka semua jawatan untuk dipertandingkan pada pemilihan nanti adalah di antara keputusan yang mampu memperbaiki imej parti ini, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, setiap ahli UMNO perlu menolak budaya negatif yang telah mencalarkan imej UMNO, termasuklah budaya politik ‘warlord’, sifat angkuh, amalan politik wang dan retorik perkauman yang melampau.

“Kita tidak boleh terus bersikap jumud dan memandang remeh perkara-perkara ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jeli dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, UMNO perlu berubah dan rakyat tidak akan menunggu, maka pemimpin-pemimpin UMNO di setiap peringkat perlu bermuhasabah dan berani untuk melakukan perubahan yang radikal bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti ini.

“Kekalahan ini membawa hikmah tersendiri kepada UMNO di mana ia membuka ruang kepada kita untuk melaksanakan pembaharuan dalam parti ini. Agenda rejuvenasi UMNO menjadi lebih penting di saat yang mencabar ini.

“Saya berharap supaya pemilihan ini dilaksanakan bebas dari sebarang amalan politik wang, serta berlangsung dalam suasana kekeluargaan.

“Pemilihan ini harus menjadi platform untuk akar umbi memberikan mandat baharu kepada barisan kepimpinan yang difikirkan mempunyai visi dan memiliki kemampuan untuk menerajui dan memulihkan imej parti ini dalam mendepani cabaran-cabaran yang mendatang.”

Katanya, hanya menerusi keikhlasan dan iltizam politik yang kuat untuk berubah sahajalah akan dapat memberi nafas serta wajah baharu bagi UMNO.

“Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah mencipta satu sejarah dan rakyat Malaysia sudah memberikan isyarat yang cukup jelas bahawa soal integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik adalah penting dalam memacu Malaysia mendepani cabaran dalam dan luar negara.

“Sejajar dengan amalan demokrasi, rakyat Malaysia perlu memberi ruang kepada pentadbiran baharu Pakatan Harapan di bawah pimpinan YAB. Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meletakkan negara di atas landasan yang kukuh.

“Kita perlu menjadi pembangkang yang konstruktif untuk mewujudkan ‘check and balance’ yang berkesan di Malaysia,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau tidak menafikan bahawa beberapa kelemahan Kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) perlu ditangani.

“Sebagai salah seorang anggota Jemaah Menteri sebelum ini dan bersandarkan kepada prinsip ‘collective responsibility’, kami juga bertanggungjawab terhadap beberapa perkara yang berlaku.

“Buat BN terutamanya parti saya sendiri iaitu UMNO, kita harus berlapang dada dan menerima suara rakyat dengan terbuka. UMNO masih diberikan kepercayaan oleh rakyat dan ini diterjemahkan menerusi 54 kerusi di Dewan Rakyat. Amanah besar sebagai pembangkang ini perlu ditunaikan dengan sebaik mungkin.”

Beliau melihat Malaysia memiliki potensi yang cukup besar menjadi antara negara terkemuka di dunia maka semua pihak harus menggembleng tenaga untuk menyuburkan amalan demokrasi di negara ini.

“Kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang perlu memainkan peranan yang berkesan dalam menangani masalah rakyat dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang berjaya,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.