Akar Umbi Bersemangat Untuk Perkukuh Kembali UMNO – Zambry

KUALA LUMPUR, 24 Mei -Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menyeru kepada semua ahli UMNO khususnya di akar umbi untuk kembali membina jati diri bagi memperkuatkan semula parti keramat UMNO.

Jelas beliau, ahli UMNO tidak harus patah semangat atas apa yang berlaku tetapi seharusnya memandang secara positif apa yang telah terjadi.

“Apa yang berlaku adalah satu pengajaran dan kita perlu bina semula parti ini. Tidak bermakna bila berlaku keruntuhan itu, kita tidak mampu bangun lagi. Paling penting adalah kita perlu untuk bersama-sama menginsafi dan menggerakkan seluruh ahli untuk mara kehadapan, bina dari keruntuhan.

“Apa yang terjadi tidak bermakna semua telah berakhir. Semangat, istiqamah adalah kekuatan untuk mara ke hadapan. Saya percaya atas semangat yang ditunjukkan akar umbi secara bersatu, kita akan dapat membina kekuatan ini dengan syarat mesti ada kekuatan dan kesedaran dalaman,” jelas beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Zambry, apa yang terjadi kepada UMNO dalam PRU-14 harus dianggap sebagai satu cabaran yang perlu ditempuh secara bersama.

“Ini adalah satu pengajaran yang sangat besar untuk kita bangunkan semula UMNO bersama-sama,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.