Tiada Upacara Mengangkat Sumpah Diadakan Hari Ini – Istana Negara

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Tiada upacara mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri diadakan di Istana Negara hari ini.

Sumber daripada Istana Negara memberitahu Bernama upacara itu tidak akan diadakan pada hari ini seperti yang ditular di media sosial.

Beliau berkata pihak Istana Negara akan memaklumkan sekiranya sudah memperoleh maklumat terkini mengenai majlis berkenaan.

“Memang hari ini belum ada majlis mengangkat sumpah lagi. Jika ada info selepas ini pihak istana akan maklumkan.

“Setakat ini tiada maklumat bila (ia akan diadakan). Pastinya bukan hari ini, malam ini pun bukan,” kata sumber berkenaan.

Sekumpulan anggota media tempatan dan antarabangsa serta beberapa penyokong kerajaan Pakatan Harapan menunggu di luar kawasan berhampiran Istana Negara sejak pukul 8 pagi tadi.

Menerusi maklumat yang diterima sebelum ini daripada beberapa sumber, Tun Dr Mahathir Mohamad, 92, dijangka mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh susulan kejayaan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14 semalam.

Pakatan Harapan, gabungan empat parti politik pembangkang diketuai Dr Mahathir menang besar pada pilihan raya kali ini, menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun.

Dr Mahathir juga merupakan perdana menteri keempat dan merupakan orang yang sama mengetuai kejayaan BN dalam pilihan raya umum lima penggal berturut-turut dari 1982 hingga 1999.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.