BN Komited Hormati Prinsip Demokrasi Berparlimen

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menegaskan bahawa BN komited kepada menghormati prinsip-prinsip demokrasi berparlimen yang menjadi amalan dalam negara ini dan menerima keputusan yang ditentukan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya menerima, rakan-rakan saya pun menerima keputusan yang telah dibuat oleh rakyat dan parti BN komited kepada menghormati prinsip-prinsip demokrasi berparlimen.”

Katanya, oleh kerana tidak ada sebuah sebuah parti yang mendapat majoriti mudah, maka Yang di-Pertuan Agong akan buat keputusan siapa yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Mengikut perlembagaan lantikan ini adalah keputusan Yang di-Pertuan Agong dan ia adalah berdasarkan kepada prinsip siapa yang akan mendapat kepercayaan dikalangan ahli-ahli Dewan Rakyat.

“BN akan menghormati apa juga keputusan yang akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan saya ingin menggesa semua rakyat Malaysia berada dalam keadaan yang tenang. Beri keparcayaan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Dalam kesempatan tersebut, beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pemimpin BN di peringkat nasional dan akar umbi, yang telah bekerja siang dan malam dalam membuat segala kegiatan untuk BN.

“Saya sedar ada juga yang tidak sempurna dalam masa kita mentadbir negara ini tetapi keutamaan saya adalah sentiasa untuk menentukan keselamatan dan kemakmuran rakyat.

“Mula-mula saya mengambil alih pentadbiran kerajaan pada tahun 2009, kerajaan telah cuba sedaya upaya untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan untuk menentukan masa depan yang lebih baik kepada rakyat dan generasi akan datang.”

Jelasnya, hampir 3 juta pekerjaan telahpun diwujudkan, kadar kemiskinan berada pada tahap yang paling rendah, telah dibangunkan infra-rakyat yang bertaraf dunia, ekonomi dunia dapat dipacu kepada satu kadar pertumbuhan yang boleh dibanggakan dan dapat pengiktirafan dunia.

“Rakyat secara inklusif mendapat faedah menerusi pelbagai insentif dan program oleh kerajaan BN tetapi jelas sekali apa yang telah kita lakukan mungkin kurang tarikan berbanding dengan apa yang telah ditawarkan oleh pihak lawan.

“Sekarang ini rakyat menunggu janji-janji itu dilaksanakan sebagaimana yang terkandung dalam manifesto mereka dan dalam ucapan mereka. Kita telah lakukan yang terbaik,” tegasnya yang juga Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini selepas BN mendapat 79 kerusi menerus PRU-14.

“Kita telah memenangi 79 buah kerusi, ini juga merupakan satu mandat yang kita mesti pandang berat dan kita mesti melaksanakan amanah rakyat ini supaya rakyat akan beri kepercayaan kepada BN pada masa-masa yang akan datang.”

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama dengan Setiausaha Agung BN/UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Turut serta ialah ketua pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, Tan Sri Shahrizat Jalil, Khairy Jamaluddin dan Datuk Masermieyati Samsudin – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.