PRN Johor: Jangan Anggap Mudah, Jentera BN Kerja Kuat Demi Rakyat – Dr Shamsul
KUALA LUMPUR, 12 Feb – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengingatkan pemimpin dan jentera parti tidak melihat pilihan raya ini mudah bagi BN.
Ini kerana dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini tidak boleh dianggap begitu mudah sebaliknya jentera parti harus berkerja lebih kuat lagi.
“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Pilihan Raya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Hasni Mohamad telah mengingatkan bahawa jangan menganggap PRN ini mudah untuk BN.
“Jentera parti harus serius berkerja dan melihat ianya satu cabaran bagi memastikan kali ini rakyat memberi mandat yang besar kepada BN di Johor untuk memulihkan, mentadbir lebih stabil dan keyakinan akan diperoleh kerajaan daripada pelbagai pihak… maknanya jangan menganggap pilihan raya ini mudah bagi kita.
“Saya yakin berbanding dengan tempat lain iaitu persiapan yang dibuat oleh jentera parti di peringkat Pusat, Negeri hingga ke peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah bersedia. Di seluruh negeri Johor nampak begitu tersusun seperti yang dirancang iaitu dari segi jentera UMNO, MCA dan MIC tapi bagaimana jentera parti mahu gunakan kekuatan ini bagi mendapat sokongan dari rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara PRN Johor: Siapa Perjudikan Nasib Rakyat di Facebook UMNO Online, malam tadi.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata pada PRN Johor ini BN akan menghadapi sejumlah pengundi muda dan automatik yang begitu besar selain pengundi yang sedia ada sebelum ini.
“Jentera parti harus melihat latar belakang dan tahap kedudukan pengundi di semua tempat bagi membolehkan parti mendekati pengundi sesuai dengan kedudukan pengundi itu sendiri.
“Ini penting dibuat supaya apa jua mesej yang hendak disampaikan kepada rakyat menepati kelompok dan golongan tersebut; dan apa yang diberikan agar tidak tersasar kerana rakyat hendak tahu perkara tersebut.
“Saya yakin dengan semangat dan sentimen sayang kepada UMNO/BN sangat tinggi dikalangan rakyat dan mesej jelas bahawa parti UMNO ini memang berjuang untuk kepentingan rakyat,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berharap rakyat negeri Johor memberikan mandat yang besar kepada BN dan mentadbir dengan baik.
“Inilah yang UMNO hendak lakukan supaya pilihan raya ini diberi hak kepada rakyat dan rakyat memilih BN, akhirnya dapat mentadbir negeri Johor dengan begitu baik sebagaimana UMNO/BN mentadbir dahulu seperti pembangunan yang pesat, ekonomi, prasarana dan kebajikan rakyat.
“Dengan mandat besar ini dapat menunjukkan kestabilan dan kerajaan diyakini. Apabila di yakin maka rahmatnya akan kembali kepada rakyat dalam bentuk pembangunan dan sebagainya,” ujarnya lagi. – UMNO Online