Ada Nombor Tapi Enggan Dedah… Anwar Mahu Berbohong Lagi?

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi timbulkan persoalan adakah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu berbohong lagi sepertimana peristiwa pada 16 Sept 2008 lalu.

Ini katanya, rentetan pengumuman Anwar siang tadi yang mendakwa pihaknya mempunyai cukup bilangan ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaannya bagi menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Tadi Anwar umum, kerajaan PN tumbang.
Dia sudah cukup nombor. Tapi Anwar enggan dedah berapa. Kenapa nak sembunyi?

“Apakah Anwar mahu berbohong lagi seperti kerajaan 16 September 2018. Ketika itu Anwar umum dia sudah ada SD (akuan bersumpah) 30 ahli Parlimen UMNO yang akan melompat.

“Sampai kesudah tidak seorang pun yang melompat. Sampai kini Anwar tidak juga jadi Perdana Menteri (PM),” bidasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Puad yang ketika itu Ahli Parlimen Batu Pahat turut mendedahkan setelah 16 Sept tidak menjadi, Anwar menefonnya pada pukul 3 pagi, 19 Sept 2008.

“Anwar pujuk saya supaya sign SD sokong dia jadi PM ganti Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi-PM ketika itu).

“Dia beritahu saya, “Puad, i have enough numbers. It’s going to happen (Puad, saya sudah cukup nombor. Ianya akan terjadi). 25 September kerajaan BN (Barisan Nasional) akan tumbang”.

“Dari 16 September ubah kepada 25 September. Sekarang tarikh pun dia tidak berani umumkan. Siapa nak percaya Anwar? Katanya lagi.

Tetapi tambah Puad, mungkin ada seorang wakil rakyat yang akan percaya dan ikut Anwar iaitu Mohamaddin Ketapi.

“Itu pun kalau dia tidak ditembak jatuh oleh undi rakyat pada 26 September ini.

“Semoga nasibnya tidak tidak sama seperti ayam dan anjing yang ditembak oleh kereta kebal,” sinisnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.