Tadbir Negeri Lintang-pukang, Nak Tadbir Negara? Jangan Mimpilah, Bidas Kimanis


PEKAN, 28 Jun – “Mentadbir negeri pun tidak dapat (laksanakan), inikan pula tadbir negara? Jangan mimpilah.”

Demikian bidas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin mengenai cadangan seorang pemimpin utama pembangkang mahu menjadikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai perdana menteri.

Jelas Mohamad lagi, sejak Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai Shafie mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Negeri Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, berlaku banyak kepincangan dan pentadbiran yang tidak tentu arah.

“Mereka mentadbir tidak tentu arah, lintang-pukang…baca di surat khabar, Facebook bagaimana kerajaan negeri parti Warisan mentadbir di sana.

“Tidak ada suatu perancangan yang baik, tiada program pembangunan yang bagus yang dibawa oleh mereka. Yang ada hanya berpolitik 24 jam sahaja,” jelas Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) itu.

Beliau berkata demikian di dalam majlis pemimpin bersama masyarakat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Pusat Daerah Mengundi Felda Chini 4, di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Terkini, dilaporkan cadangan bekas Perdana Menteri PH, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mencalonkan Shafie sebagai calon perdana menteri masih belum diputuskan PH sebagaimana kenyataan bersama Parti Amanah Negara (Pan) dan Dap yang berkata pertemuan dengan Dr Mahathir pada Khamis lalu merupakan pertemuan tidak rasmi dan tiada kata putus mengenai keputusan Ahli Parlimen Langkawi itu.

Dr Mahathir juga mencadangkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir Timbalan Perdana Menteri 2.

Berhubung dengan PRK DUN Chini, Mohamad menyeru pengundi hanya memilih calon BN, Mohd Sharim Md Zain dan menolak sesiapa juga selain itu termasuklah calon Bebas yang mempunyai pendekatan, idealogi dan fahaman ke arah Pakatan Harapan (PH).

Mohamad turut menceritakan pengalamannya sebagai calon bukan pilihan ketika PRK Parlimen Kimanis kerana mewakili BN, parti pembangkang ketika itu di negeri dan pusat.

“Di peringkat negeri kita lawan kerajaan, di peringkat Persekutuan pada waktu itu kita juga lawan parti Pakatan Harapan.

“Betul, tidak ada yang menjangkakan kita boleh menang tetapi berkat kerja kuat kita, jentera berusaha bertali arus, tidak jemu… Alhamdulilah kita mampu menang.

“Maka di DUN Chini ini, mari kita sama-sama majukan gelombang, untuk sama-sama menuju ke hadapan yang lagi penting,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.